Tuesday, September 21, 2010

Pakai Jaket Terbalik

Di mana-manapun di kawasan Lembah Klang, (kawasan lain aku kurang pasti) kita akan dapati ramai penunggang motor memakai jaket secara terbalik. Ada yang memakainya sampai paras bahu dan sesetengahnya sampai paras siku saja.

Kalaulah korang perasan, cara pemakaian ini sebenarnya telah diamalkan oleh ramai penunggang motor sejak aku mendapat lesen lagi iaitu 23 tahun lalu.

Pemakai-pemakai jaket terbalik ini juga terdiri daripada semua golongan tanpa mengira usia, pekerjaan dan jenis motor.

Siapakah pengasasnya ?

Bilakah bermulanya trend pakai jaket terbalik ni ?

Mengapa jaket tu dipakai terbalik ?

Pada waktu itu aku juga terikut-ikut dengan cara pemakaian tersebut tapi dah meninggalkan amalan itu tidak berapa lama kemudian. Kalaulah ditanya apakah tujuan dan mengapa jaket itu dipakai terbalik, aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Hanya mengikut saja apa yang orang lain buat.

Seorang kawan aku kata, pakai jaket terbalik ni senang nak pakai, ringkas, cuma sarung je, start motor terus jalan. Lagipun nak elakkan tangan jadi hitam di tengah panas terik.

Itu ajelah alasannya.

Ada sebab-sebab lain mengapa jaket tu dipakai terbalik ?

Wahai penunggang-penunggang motor semua, korang sedar tak, kalau korang pakai jaket secara terbalik,naik motor, korang membahayakan diri sendiri dan jugak orang lain.

Apa bahayanya ?

Semasa motor tu bergerak, jaket yang tidak dipakai sempurna itu akan berkibar-kibar di kiri kanan dan korang pulak ( termasuklah aku ) memang suka sangat menunggang dekat-dekat, sebelah menyebelah dan mencelah-celah di antara kereta. Dikhuatiri hujung jaket yang berkibar-kibar tu tersangkut di hendal motor sebelah atau di side mirror kereta. Ada juga kemungkinan hujung jaket yang terjuntai tu tersangkut di celah-celah tayar atau tersepit di rantai motor sendiri.

Boleh bayangkan apa yang akan terjadi ?

Seorang kawan aku menceritakan pengalamannya, pernah sekali baju hujan labuhnya yang dipakai terbalik telah tersepit di rantai semasa motor sedang bergerak. Mujurlah baju hujan tu nipis dan terkoyak di dalam rantai motornya. Bayangkan jika baju hujan tu jenis tebal dan tidak terkoyak, sudah pastilah ia akan menarik sekali penunggangnya dan kemalangan pasti berlaku.

Wahai penunggang motor sekalian, hindarilah kemalangan. Pakailah jaket tu dengan sempurna. Jangan ditambah lagi statistik kemalangan melibatkan motosikal.

Cukup-cukup la tu !

Aku yakin dan pasti ramai antara kita yang tunggang motor nak cari makan, cari rezeki halal. Ingatlah dan kasihanilah orang tersayang yang menanti di rumah.

Nak ringkas dan nak cepat tu boleh, BUKAN dengan cara pakai jaket secara terbalik.

No comments:

Post a Comment