Tuesday, March 12, 2013

Petak parking OKU

Petak parking OKU ada merata-rata tempat

Wednesday, October 19, 2011

Pasang Hazardlight Semasa Hujan

Apabila hujan lebat turun dan cuaca agak gelap, kita dimestikan memasang lampu besar. Aku pasti korang tau kenapa kita kena pasang lampu dan apa akibatnya kalau tak pasang lampu.

Dah tentulah supaya kehadiran kita di atas jalan raya tu dilihat oleh pemandu lain.

Tapi ada pulak segelintir pemandu yang memasang hazardlight semasa hujan lebat. mereka ni belajar undang-undang jalan raya kat mana ? Habit ni aku rasa lebih kepada ikut-ikutan. Tengok orang lain pasang, dia pun pasang gak.

Persoalan aku ialah mengapa pasang lampu hazard ? Sebab cuaca gelap atau jalan basah atau kedua-duanya sekali ? Aku rasa memadai dengan hanya memasang lampu besar, pandu dengan tumpuan dan kewaspadaan yang lebih tinggi dan jarakkan kereta kita dan kereta di depan dengan jarak yang selamat. Tak perlu pasang lampu hazard. Ini boleh mengelirukan.

Aku faham dengan memasang hazardlight tu akan menambahkan lagi perhatian pemandu lain kepada kita. Tapi nak membelok ke kiri atau ke kanan nak guna lampu mana ? Macam mana nak bagitau pemandu lain haluan kita ?

Kalau sebab jalan basah rasanya memadai pandu dgn kewaspadaan yg tinggi dan jarak yg selamat manakala kalau disebabkan cuaca gelap rasanya suasana di malam hari lebih gelap lagi dan kita tidak pulak diwajibkan memasang lampu hazard. Jadi di mana rasionalnya keperluan memasang lampu hazard semasa hujan lebat.

Seharusnya kita dididik bila sepatutnya hazardlight tu dipasang dan apakah fungsi utama ianya dipasang di setiap kereta. Kemungkinan masa ambik lesen ada diajar tapi dah lupa atau tertidur agaknya semasa belajar. Lepas dapat lesen bawak kereta tiba-tiba hujan turun nampak pemandu lain pasang lampu hazard dia pun pasang. Peliknya lampu besar yang sepatutnya dipasang tak pasang pulak!

Pada pendapat aku fungsi utama lampu hazard tu ialah ianya mesti dipasang semasa kereta berhenti iaitu di tepi jalan yang membawa maksud 'sedang kecemasan'.

Kadang-kadang tu aku tengok seorang pemandu tu memandu sambil pasang lampu hazard sambil merokok. Tak nampak macam ada kecemasan pun. Kereta bergerak ok, tayar ok, mengapa pasang lampu hazard? Tak paham aku!

Ada jugak sesekali aku terserempak pemandu-pemandu tu pasang lampu hazard sebab nak mengiring pengantin. Mereka konvoi ramai-ramai bawak laju-laju. Aku rasa memadailah hanya dengan memasang lampu besar, itu lebih jelas boleh nampak dari jauh walaupun dalam cermin sisi

Aku harap pengiring-pengiring VVIP, pihak berkuasa gunalah lampu dan siren khas dan elakkan guna lampu hazard.

Aku harap juga ada dokumentari pendek di tv dan radio yang mendidik pemandu-pemandu bila dan bagaimana nak guna lampu hazard ni.

Akhir kata, hentikanlah tabiat memasang lampu hazard ni. Jangan salah guna peralatan di kenderaan kita, jangan jadi pak turut, jangan kelirukan pemandu-pemandu lain.

Thursday, September 30, 2010

Menaip SMS Sambil Memandu / Menunggang Motorsikal

Kebelakangan ini sering kerap aku terserempak dengan pemandu dan penunggang motor menaip sms sambil memandu atau menunggang motor. Ada yang sedang memandu laju, semasa kereta bergerak perlahan di kesesakan, di lampu trafik semasa menunggu lampu bertukar hijau dan ada juga yang menaip semasa mencelah-celah di antara kereta.

Aku rasa tabiat ini lebih berbahaya kalau nak dibandingkan dengan tak pakai handsfree kerana tumpuan kepada pemanduan akan terlalu sedikit. Jari menekan keypad, otak memikirkan ayat yang nak ditaip, mata pulak sekejap pandang depan sekejap pandang skrin telefon. Kalau begini caranya sudah tentu tumpuan akan terjejas dan kemalangan dengan mudah berlaku.

Aku pernah menyuarakan isu ini kepada kawan sekerja semasa duduk minum. Dia memang kaki berSMS. Inilah jawapannya, "biasalah tu, aku selalu buat macam tu, tapi aku taip tak pandang skrin sebab aku dah hafal keypad tu, sesekali je tengok skrin tu betul ke tidak ejaan dan ayatnya. Kadang-kadang tu siap berbalas-balas lagi". Wah.. hebatlah kau ni... sibuk sangat ke sampai atas motor pun nak taip sms..aku kata seakan memperli.

Aku tanya lagi,tak bahaya ke dan tak pernah jadi apa-apa ke. Dia jawab dengan yakin " setakat ni takdelah, harap-harap tak jadi apa-apa ."

Mana boleh harap-harap je, malang tak berbau.

Kereta aku pun pernah kena langgar belakang. Kuat jugalah sampai terbarai bumper belakang. Aku syak budak muda yang langgar tu sedang berSMS sebab takde langsung dengar bunyi brek. Kereta aku sedang berhenti masa tu. Tiba-tiba je aku dengan wife aku tersentak dan terperanjat kena sondol kereta belakang. Nyaris juga tak tersondol kereta depan aku sebab aku berhenti agak jauh. Kalau tidak depan belakang aku kena.

Korang macam mana pulak ? Macam kawan aku tu jugak ke ? Harap-harap takle. Kalau tanya aku, jawapannya aku memang tak berapa suka berSMS. Biasanya aku akan selesa bercakap terus. SMS bila perlu je dan aku pun memang tak cekap menaip SMS.

Kadang-kadang tu ada sesebuah kereta tu kita tengok macam terhoyong-hayang, sekejap ke tepi sekejap ke tengah. Dulu kita beranggapan pemandu mabuk atau mengantuk, rupa-rupanya sedang menaip SMS.

Ada juga kadang-kadang kereta tu dipandu dengan sangat perlahan di lorong tengah atau di lorong memotong sehingga menyebabkan kesusahan pada orang lain, pun rupa-rupanya sebab sedang berSMS.

Biasanya bila memandu tangan kita akan memegang stering, cuma sesekali tangan tu dilepaskan untuk menukar gear atau menukar channel radio. Mata pulak pandang ke depan cuma sesekali menoleh ke kiri kanan dan kadang kadang menjeling ke cermin pandang untuk melihat keadaan di belakang.

Tuesday, September 21, 2010

Pakai Jaket Terbalik

Di mana-manapun di kawasan Lembah Klang, (kawasan lain aku kurang pasti) kita akan dapati ramai penunggang motor memakai jaket secara terbalik. Ada yang memakainya sampai paras bahu dan sesetengahnya sampai paras siku saja.

Kalaulah korang perasan, cara pemakaian ini sebenarnya telah diamalkan oleh ramai penunggang motor sejak aku mendapat lesen lagi iaitu 23 tahun lalu.

Pemakai-pemakai jaket terbalik ini juga terdiri daripada semua golongan tanpa mengira usia, pekerjaan dan jenis motor.

Siapakah pengasasnya ?

Bilakah bermulanya trend pakai jaket terbalik ni ?

Mengapa jaket tu dipakai terbalik ?

Pada waktu itu aku juga terikut-ikut dengan cara pemakaian tersebut tapi dah meninggalkan amalan itu tidak berapa lama kemudian. Kalaulah ditanya apakah tujuan dan mengapa jaket itu dipakai terbalik, aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Hanya mengikut saja apa yang orang lain buat.

Seorang kawan aku kata, pakai jaket terbalik ni senang nak pakai, ringkas, cuma sarung je, start motor terus jalan. Lagipun nak elakkan tangan jadi hitam di tengah panas terik.

Itu ajelah alasannya.

Ada sebab-sebab lain mengapa jaket tu dipakai terbalik ?

Wahai penunggang-penunggang motor semua, korang sedar tak, kalau korang pakai jaket secara terbalik,naik motor, korang membahayakan diri sendiri dan jugak orang lain.

Apa bahayanya ?

Semasa motor tu bergerak, jaket yang tidak dipakai sempurna itu akan berkibar-kibar di kiri kanan dan korang pulak ( termasuklah aku ) memang suka sangat menunggang dekat-dekat, sebelah menyebelah dan mencelah-celah di antara kereta. Dikhuatiri hujung jaket yang berkibar-kibar tu tersangkut di hendal motor sebelah atau di side mirror kereta. Ada juga kemungkinan hujung jaket yang terjuntai tu tersangkut di celah-celah tayar atau tersepit di rantai motor sendiri.

Boleh bayangkan apa yang akan terjadi ?

Seorang kawan aku menceritakan pengalamannya, pernah sekali baju hujan labuhnya yang dipakai terbalik telah tersepit di rantai semasa motor sedang bergerak. Mujurlah baju hujan tu nipis dan terkoyak di dalam rantai motornya. Bayangkan jika baju hujan tu jenis tebal dan tidak terkoyak, sudah pastilah ia akan menarik sekali penunggangnya dan kemalangan pasti berlaku.

Wahai penunggang motor sekalian, hindarilah kemalangan. Pakailah jaket tu dengan sempurna. Jangan ditambah lagi statistik kemalangan melibatkan motosikal.

Cukup-cukup la tu !

Aku yakin dan pasti ramai antara kita yang tunggang motor nak cari makan, cari rezeki halal. Ingatlah dan kasihanilah orang tersayang yang menanti di rumah.

Nak ringkas dan nak cepat tu boleh, BUKAN dengan cara pakai jaket secara terbalik.

Monday, September 20, 2010

Roundabout di Shah Alam

Memandu di kawasan Shah Alam, atau korang memang tinggal di Shah Alam, dah pastinya korang akan menempuh banyak bulatan atau roundabout. (aku suka guna perkataan 'roundabout'). Menurut perkiraan aku, terdapat lebih kurang 18 buah roundabout di Shah Alam. 8 daripadanya amat sibuk dan berbahaya. Ada yang besar, yang lonjong, yang sederhana besar dan yang kecil pun ada. Ada yang dihias cantik dan ada juga yang tidak dihias langsung.

Roundabout yang paling sibuk antaranya di Seksyen 15 ( ada dua roundabout ) dan di istana. Maafla aku tak tau nama roundabout -roundabout tu sebab sibuk sangat bila dah kat dalam roundabout tu, tak sempat nak toleh kiri kanan!

Pendapat aku la..sistem roundabout di Shah Alam sekarang ini sangat-sangat ketinggalan zaman. Kalau zaman pop yeh-yeh atau tahun 70an tu bolehlah kita guna roundabout sebab kenderaan atas jalanraya boleh dikira dengan jari, tapi sekarang ni kerana jumlah kenderaan bertambah berkali-kali ganda banyaknya terutama ketika pagi dan petang.

Zaman berubah..sistem roundabout wajar diganti dengan simpang empat berlampu isyarat yang telah terbukti lebih selamat, lalulintas yang lebih teratur dan lebih selesa.

Roundabout adalah jalan raya yang tidak bersistem, tidak selesa, mengelirukan dan amat berbahaya walaupun kepada pemandu/penunggang yang berpengalaman memandu berbelas tahun. Risiko terjadinya kemalangan amat besar walaupun dengan kesilapan atau kecuaian yang amat kecil. Pemandu dan penunggang harus melipatgandakan tumpuan kepada pemanduan apabila berada dalam roundabout.Aku sendiripun akan menjadi sangat sibuk menoleh ke kanan sampai 90 darjah, pandang semula ke depan, toleh sekali lagi kadang-kadang proses ini berulang-ulang kali. Ini semua terpaksa dilakukan untuk mengawasi kereta di depan dan kereta yang di dalam roundabout. Sedikit kesilapan je, padah menanti.

Berbeza dangan lampu isyarat, kita taklah sesibuk tadi sebab apabila lampu merah, kita berhenti dan beratur. Bila lampu bertukar hijau, kita jalan. Kemalangan dapat dikurangkan, wang ringgit banyak yang dapat dijimatkan daripada bayar saman dan kos membaiki kenderaan dan masa juga tidak terbuang.

Duit saman dan membaiki kenderaan boleh digunakan untuk keperluan lain dan masa jugak boleh diisi dengan perkara-perkara yang lebih penting.

Aku tengok banyak kejadian kemalangan di roundabout amat susah dan rumit untuk diadili siapa salah dan siapa benar kerana apabila kita berada di dalam roundabout, adakalanya kita terpaksa menukar lorong bergantung kepada dari mana kita datang dan ke arah mana destinasi kita.

Aku boleh katakan kemalangan yang terjadi di roundabout adalah kemalangan yang boleh dielakkan dan tak sepatutnya berlaku. Yang perlu hanyalah sedikit perubahan dan pengubahsuaian. Siapakah antara kita yang suka dan seronok terlibat dengan kemalangan? Melakukan kesilapan dan cuai memang sifat manusia tapi kita seharusnya berusaha untuk mengurangkan kesilapan dan kecuaian itu.

Bandaraya Shah Alam pada hari ini sangat jauh berbeza berbanding pada tahun 80an. Pada masa itu keadaan lalulintas amat lengang ditambah dengan keluasan jalanraya dua lorong pada masa itu, sudah dianggap terlalu besar dan selesa. Apabila Shah Alam terus membangun, penduduk mula ramai, jalanraya semakin sibuk, walaubagaimanapun jalanraya dua lorong sedia ada masih boleh menampung pertambahan kenderaan. Masalah mula timbul apabila menghampiri roundabout. Kenderaan akan bersesak-sesak dan berebut-rebut di dalam roundabout mencari haluan masing-masing. Sedikit kecuaian, sedikit kesilapan boleh menyebabkan musibah. Apabila kemalangan terjadi walaupun kecil akan mengakibatkan perbalahan dan akhirnya kerugian ratusan malah kadang-kadang ribuan ringgit. Inilah yang sepatutnya dielakkan.

Jika roundabout-roundabout itu diganti dengan simpang empat, lalulintas akan lebih teratur, bersistem, lebih selamat dan selesa dan yang pastinya tiada lagi kes-kes kemalangan di roundabout akan dilaporkan.

Kadang-kadang roundabout tu kecil je dan tak perlu lampu isyarat, pun perlu ditukar kepada simpang empat, maka aku cadangkan diletakkan bonggol di pangkal simpang empat tu dan kenderaan yang memasuki simpang empat tu akan "dipaksa" memperlahankan kelajuan dan pemandunya akan lebih berwaspada dengan kenderaan yang melintas di depannya.

Aku berharap sangat-sangat pihak-pihak yang berkuasa di Shah Alam khususnya MBSA,Polis trafik,JKR atau sesiapa yang berkenaan dapat mengambil perhatian serius tentang isu ini. Tolonglah .. bantulah kami rakyat yang hidup cukup-cukup makan, sentiasa mengejar-ngejar masa ni. Buatlah sesuatu tindakan. Kita tak mahu hanya pemandu sahaja yang dipersalahkan sedangkan ada lagi faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kejadian kemalangan.